ILMU: Umur 35 ke 40 Tahun: Detik Peralihan Usia atau Satu Ujian Kehidupan?
Umur 35 hingga 40 tahun ini, bukan sekadar angka. Ia satu fasa hidup yang luar biasa mencabar—dan dalam masa yang sama, sangat bermakna.
Pada usia inilah, ramai antara kita mula diuji. Ujian itu boleh datang dalam pelbagai bentuk. Ada yang diuji dengan ibu bapa yang jatuh sakit, atau kehilangan yang tercinta. Ada yang rumahtangganya mula bergoncang, atau tiba-tiba pasangan diuji dengan kesihatan. Anak-anak pula makin besar, makin banyak ragam. Remaja yang sedang mencari identiti, dan kita pula... sedang cuba menyeimbangkan semuanya.
Inilah waktu, di mana Allah mula memanggil kita pulang. Tapi bukan dengan suara, bukan dengan mimpi. Tapi dengan ujian. Sebab kadang-kadang, manusia hanya akan sujud dan mengadu bila diuji. Bila semuanya tenang dan lancar, kita mudah alpa.
Orang Bijak, Akan Sedar dan Bersedia
Orang yang bijak akan mula “berkemas”. Bukan kemas rumah, tapi kemas jiwa dan amalan. Mereka mula perbaiki hubungan dengan pasangan, anak-anak, dan ibu bapa. Mereka mula menyimpan dan berjimat untuk masa depan. Tapi yang lebih penting, mereka mula merancang… bukan sahaja untuk hari tua, tapi juga untuk akhirat. Supaya satu hari nanti, kita semua boleh berkumpul kembali—bukan di dunia, tapi di syurga.
Tapi ada juga yang masih leka. Masih sibuk mengejar dunia. Sibuk berkumpul dengan kawan-kawan, sibuk dengan kerjaya, sampai tak sedar pasangan dan anak-anak mula terasa jauh. Panggilan dari Allah itu langsung tidak diendahkan.
Usia 40 Tahun Dalam al-Quran
Apa yang menarik, Allah sebut secara khusus tentang usia ini dalam surah Al-Ahqaaf ayat 15. Ayat ini bukan sekadar peringatan, tapi doa yang sangat indah untuk kita amalkan ketika mencecah usia matang ini:
“…Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhan ku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal salih yang Engkau redhai...”
SubhanAllah. Allah ajar kita untuk mula bersyukur, mula serius, mula tunduk dan taat bila sampai usia 40. Bukan makin lalai.
Bila Usia Meningkat Tapi Hati Masih Belum Sedar
Sedihnya, ada juga yang sudah mencecah 50, 60 bahkan 70 tahun... masih sibuk dengan dunia. Masih fikirkan kereta sport, dusun durian, lembu kambing dan harta benda. Masih sibuk dengan cucu, anak, kebun... tapi kurang masa untuk kuliah agama, masjid, umrah dan ibadat.
Ada pula yang ‘perasan muda’. Kedut dah berlapis, uban dah tumbuh, tapi hati masih ligat mengejar cinta palsu. Rumah tangga halal dibiarkan hambar, demi cinta luar yang entah ke mana.
Ada pula yang rasa “saya masih sihat”, walaupun sahabat-sahabat, saudara-mara, ramai sudah pergi. Kita cuma ulang ayat klise: “Eh, tak sangkalah dia meninggal… sihat je nampak semalam…”
Hakikatnya, umur hanyalah angka. Tapi ajal itu realiti. Ia boleh datang bila-bila.
Nafsu Tak Pernah Tua
Tubuh kita mungkin lelah, tapi nafsu… tak pernah tua. Ia sentiasa muda dan ghairah. Sebab itu, jika Allah tidak jadikan kita tua, mungkin kita akan terus leka. Terus lupa untuk bersiap pulang. Sebab tua itu sebenarnya adalah tanda amaran. Supaya kita sedar, masa dah tak panjang.
Sampai satu masa nanti, kita semua akan diheret menghadap Tuhan. Tanpa sempat bersedia. Tanpa sempat menyesal.
Hidup Tak Lama, Tapi Akhirat... Selama-lamanya
Nabi SAW bersabda:
“Umur umatku antara 60 hingga 70 tahun, dan sedikit yang melepasi umur tersebut.”
– [HR. Ibnu Majah]
Kalau sekarang umur kita 35 atau 40 rasa dah lama... bayangkan hidup di alam barzakh dan akhirat, di mana 1 hari = ribuan tahun?
Dan waktu itu, tak ada yang berguna kecuali amalan kita.
Jadi... Sudahkah Kita Bersedia?
Firman Allah:
“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah, dan lihatlah setiap jiwa, apa yang telah disiapkan untuk hari esok (akhirat).”
– [Surah Al-Hasyr: 18]
Semoga kita semua tak menunggu usia tua baru nak sedar. Semoga usia 35-40 ini jadi titik mula kita kembali kepada Allah. Mula berubah. Mula bersyukur. Mula memaafkan. Mula memperbaiki.
Sebab tak ada siapa yang tahu, bila “panggilan pulang” itu akan tiba.
Comments
Post a Comment